NAJIB dan Rosmah bersalam dengan orang ramai pada majlis sambutan
Thaipusam di Kuil Seri Subramaniyar, Batu Caves, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, gagasan 1Malaysia yang diamalkan kerajaan sekarang bukan sekadar cakap kosong kerana semua kumpulan etnik dan agama di negara ini akan mendapat pembelaan sewajarnya.
Perdana Menteri menegaskan, prinsip itu selaras dengan agama Islam yang menjadi teras negara ini iaitu berlaku adil kepada sesiapa pun tanpa mengira kaum dan agama serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Islam tidak pernah mengajar umatnya menyerang rumah ibadat agama lain kerana Islam yang sebenar perlu berlaku adil kepada sesiapa pun tanpa mengira agama.
“Nabi Muhammad SAW sendiri mengajar penganutnya untuk menghormati agama lain dan itulah yang kerajaan sekarang amalkan kepada semua kaum di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Thaipusam di Kuil Seri Subramaniyar, Batu Caves, di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas dan Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R Nadarajah.
Pada majlis itu, lebih sejuta penganut Hindu dari seluruh negara hadir mendengar ucapan Perdana Menteri.
Najib turut meminta masyarakat India khususnya penganut agama Hindu supaya terus memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan Malaysia sentiasa aman dan damai.
“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua kaum yang tinggal di bawah bumbung 1Malaysia akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Samy Vellu menyifatkan kunjungan kali kedua Najib ke kuil berkenaan membuktikan Perdana Menteri begitu akrab dengan masyarakat India di negara ini.
“Pada 9 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri sudah datang dan kali ini beliau datang lagi ke sini. Saya percaya masyarakat India akan terus menyokong kepemimpinan beliau,” katanya.
“Kaum India di negara ini juga sudah membuktikan kesetiaan kepada kerajaan dengan menyokong semua Perdana Menteri sejak 53 tahun lalu lagi,” katanya.
Beliau berkata, Najib sudah melakukan pelbagai pembaharuan yang memberi manfaat kepada kaum India di negara ini walaupun baru setahun menjadi Perdana Menteri. - Berita Harian
Comments
Post a Comment