Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, February 5, 2010

CCTV rakam Saiful


MOHD SAIFUL (kanan) menunjukkan kepada Hakim Mohamad Zabidin (kiri) 
dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengenai sekitar 
kawasan Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, semalam.

Tiba di Kondominium Desa Damansara jam 2.42 petang, beredar 4.11 petang

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menayangkan rakaman CCTV yang menunjukkan bekas pembantu khas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, mengunjungi Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada hari kejadian liwat itu didakwa berlaku.

CCTV itu antara lain merakamkan imej Mohd Saiful menaiki lif di tempat meletak kereta P2 ke tingkat lima kondominium itu pada jam 2.42 petang. Rakaman itu ditayangkan sebaik Mahkamah Tinggi meneruskan prosiding secara terbuka pada sesi petang.

Pada awal sesi pagi, Mohd Saiful memberi keterangan secara tertutup selama 30 minit sebelum menyertai lawatan hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan ke kondominium itu. Turut serta, Anwar dan peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful. Zambri Idrus.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, menjelaskan pihak pendakwaan menayangkan rakaman CCTV berkenaan bagi mengesahkan kehadiran Mohd Saiful di tempat kejadian pada 26 Jun 2008.

Dalam keterangannya kelmarin, Mohd Saiful berkata, beliau pergi ke unit 11-5-2 di tingkat lima kondominium itu selepas diarahkan oleh Anwar bagi membincangkan jadual kerjanya. 

Berdasarkan rakaman CCTV itu, Mohd Saiful turut kelihatan di dalam lif dari tingkat lima turun ke tingkat bawah pada jam 4.11 petang ketika mahu meninggalkan kondominium berkenaan dengan membawa beg dokumen berwarna hitam. Mohd Saiful mengesahkan imej lelaki berkemeja putih dalam rakaman CCTV itu ialah beliau.

Bagaimanapun, semua rakaman CCTV itu tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya kerana berlaku masalah teknikal.

Sehubungan itu, Mohd Yusof meneruskan prosiding dengan sesi pemeriksaan utama dan menunjukkan kepada Mohd Saiful 13 keping gambar untuk disahkan dan ditanda sebagai bahan bukti, antaranya kereta Fiat merah yang dinaikinya untuk ke kondominium itu, pergerakan beliau dalam lif menuju ke unit 11-5-2 dan meninggalkan lokasi berkenaan.

Dalam prosiding semalam juga, Mohd Saiful memberitahu mahkamah beliau menjalankan pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas diberitahu laporan perubatan dari hospital swasta tidak diterima sebagai bukti di mahkamah.
Mohd Saiful berkata, sebelum itu beliau pergi ke Hospital Tawakal di Jalan Pahang untuk menjalankan pemeriksaan, tetapi diberitahu oleh penyambut tetamu sesi pemeriksaan di hospital berkenaan pada hari itu hanya separuh hari.

Katanya, beliau kemudian pergi ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) di Jalan Tun Razak dengan ditemani bapa saudaranya, Tuah Mat Ali.

Mohd Saiful turut mengecam Dr Mohd Osman Abdull sebagai individu yang melakukan pemeriksaan ke atas dirinya di Hospital Pusrawi.

Mohd Yusof : Apabila jumpa Dr Osman, apa yang kamu beritahu kepadanya?

Mohd Saiful : Pada mulanya saya beritahu saya sakit perut dan sakit di bahagian dubur.

Mohd Yusof : Apa yang doktor buat?

Mohd Saiful : Beliau suruh tanggalkan seluar dan baring di atas katil dan meniarap

Mohd Yusof : Sepanjang pengetahuan kamu ada doktor guna apa-apa peralatan?

Mohd Saiful : Ada, dia ingin memasukkan sesuatu, semasa ingin masukkan benda itu saya terus berterus-terang bahawa saya telah diliwat dan ingin jalani pemeriksaan.

Mohd Yusof : Apabila beritahu apa yang berlaku, apa doktor buat?

Mohd Saiful : Doktor terus berhentikan pemeriksaan dan suruh saya pakai seluar.

Mohd Yusof : Ada kamu tanya kenapa doktor berhenti pemeriksaan?

Mohd Saiful : Ya, saya tanya, Doktor menasihati saya dua perkara, pertama hospital tiada kelengkapan untuk menjalani ujian forensik, kedua laporan hospital swasta tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah dan doktor nasihatkan untuk jalani pemeriksaan di HKL.

Mohd Yusof : Adakah kamu melihat alat yang digunakan?

Mohd Saiful : Tidak pasti.

Mohd Saiful berkata, beliau kemudian mengikut cadangan Dr Osman dan terus ke HKL, kira-kira jam 3 petang dan mendaftar sebagai pesakit luar.

Mohd Yusof : Kamu dapat berjumpa doktor?

Mohd Saiful : Ya, sejurus mendaftar, saya terus jumpa doktor perempuan bangsa India. Saya nyatakan saya segan untuk buat pemeriksaan kerana dia perempuan, lalu merujuk saya kepada doktor lelaki di sebelah bilik, juga berbangsa India. Saya ingat nama iaitu Dr Daniel. Ketika jumpa Daniel saya penat, saya terus berterus-terang untuk dapatkan pemeriksaan kerana diliwat oleh Anwar. Dia agak terkejut, lalu tulis nota untuk saya pergi ke unit kecemasan, iaitu di Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).

Mohd Yusof : Adakah kamu dapat jumpa doktor?

Mohd Saiful : Saya tunggu, doktor pertama tiba setengah jam kemudian, juga berbangsa India. Dia bertanya pada saya, beliau hanya boleh buat pemeriksaan tekanan darah saja, kemudian dia keluar. Sebelum itu saya cakap secara spesifik saya datang untuk membuat pemeriksaan diliwat. Ketika doktor itu kembali pada jam 4.30 petang beliau menasihati saya untuk membuat laporan polis kerana tanpa laporan itu pemeriksaan tidak dapat dibuat.

Mohd Yusof : Mana kamu dapat borang untuk buat laporan?

Mohd Saiful : Apabila doktor berkata demikian memang saya berhasrat untuk membuat laporan polis selepas saya membuat pemeriksaan. Saya membuat pemeriksaan di HKL kerana boleh membuat laporan polis di situ. Borang saya dapat dari dua anggota polis, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Mohd Yusof : Ada buat pemeriksaan?

Mohd Saiful : Ada, pada jam 9 malam.

Mohd Yusof : Berapa orang doktor yang datang?

Mohd Saiful : Agak ramai, saya ingat ada seorang doktor Cina, dua doktor lelaki Melayu dan seorang doktor perempuan Melayu yang mengandung dan beberapa jururawat.

Mohd Yusof : Selain itu ada orang lain?

Mohd Saiful : Ada polis datang.

Mohd Yusof : Siapa polis itu?

Mohd Saiful : Masa itu saya tidak kenal tetapi selepas itu saya tahu beliau Deputi Superintendan Jude Pereira.

Mohd Saiful berkata, dalam pemeriksaan itu beliau menceritakan dari awal kejadian liwat itu berlaku dan kemudian ditanya oleh mereka sama ada beliau dicederakan ketika itu.

Katanya, sepanjang ingatannya, dia diperiksa di seluruh bahagian badan bermula dari rambut ke kaki termasuk bahagian dubur.

Mohd Yusof : Ada apa-apa contoh diambil?

Mohd Saiful : Banyak.

Mohd Yusof? : Bagaimana diambil?

Mohd Saiful : Dengan menggunakan alat seperti putik kapas untuk pemeriksaan di bahagian badan dan dubur.

Mohd Yusof : Ada apa-apa lagi kamu lihat?

Mohd Saiful : Saya lihat mereka meletak contoh calitan di dalam bekas dan diletakkan pelekat yang kemudian ditutup dengan penutup putih dan ditandatangani oleh saya.

Mohd Yusof : Satu botol atau banyak bekas?

Mohd Saiful : Banyak tetapi tidak pasti bilangannya.

Selepas sesi pemeriksaan utama, Mohd Yusof memberitahu mahkamah semua pihak sekali lagi akan ke kondominium Desa Damansara hari ini untuk mengunjungi pejabat pengurusan dan bilik kawalan yang menempatkan CCTV di kondominium berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung hari ini.
- Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...