Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, January 5, 2010

Raja Petra Mungkin Didakwa Guna Pasport Asing Jika Benar - Peguam Negara


PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) -- Editor laman web 'Malaysia Today' Raja Petra Raja Kamaruddin mungkin didakwa menggunakan sebuah pasport asing untuk meninggalkan negara ini sekiranya ada laporan terhadapnya, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan jika ada laporan seperti itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan penulis blog itu didakwa jika didapati menggunakan pasport asing untuk melarikan diri tahun lepas selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

"Kami perlu menimbang (mendakwa Raja Petra) jika ada laporan terhadapnya dan siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Abdul Gani berkata perkara penting kini ialah untuk mendapatkan Raja Petra terlebih dahulu sebelum mendakwanya semula.

"Anda tidak semudah mendakwa seseorang apabila anda tidak mendapatkannya. Apabila hanya sudah pasti mendapatkan orang itu, maka anda boleh teruskan.

"Oleh kerana mahkamah membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra, dia boleh didakwa semula atas tuduhan sama apabila dia kembali ke negara ini," katanya.

Katanya kerajaan masih dalam proses mengenal pasti lokasi Raja Petra dan sebaik sahaja dikesan permohonan sewajar perlu dibuat mengikut undang-undang negara berkenaan untuk membawa semula dia ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan.

Raja Petra didakwa menggunakan pasport sebuah negara jiran untuk melarikan diri ke Britain dan pihak berkuasa imigresen Malaysia telah mengesahkan tiada rekod menunjukkan dia telah melalui pemeriksaan di pintu keluar negara.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbau hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...