KEPALA BATAS 18 Ogos - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan diselar kerana mencetuskan kekecohan sehingga mencederakan anggota polis ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir semalam.
Setiausaha Khas Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Zainal Abidin Ahmad (gambar) berkata, Gobalakrishnan tidak ubah seperti samseng sehingga sanggup bersikap biadab terhadap polis yang menjaga ketenteraman awam.
''Semuanya berjalan lancar (ketika proses penamaan calon) tapi kita tidak faham kenapa tiba-tiba beliau (Gobalakrishan) hendak bersikap biadab? Kenapa sampai hendak menumbuk anggota polis?
''IRIMM memandang serius kejadian ini kerana sebagai rakyat yang bertanggungjawab, semua pihak perlu menghormati peranan polis dalam menjaga ketenteraman awam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Gobalakrishnan kira-kira pukul 2.15 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha IRIMM Pulau Pinang, Norhasni Saad.
Suasana di luar pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN, Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) semalam tercemar akibat tindakan Gobalakrishnan melaung-laungkan kata-kata provokasi di hadapan para penyokong parti pembangkang.
Menurut Zainal Abidin, sebagai pemimpin politik berstatus wakil rakyat, Gobalakrishnan sepatutnya menunjukkan teladan yang baik memandangkan kejadian itu disaksikan ribuan orang awam.
Katanya, parti-parti yang bertanding sepatutnya bersikap bertanggungjawab dengan tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencetuskan ketegangan.
''Janganlah membuat sesuatu berlandaskan emosi kerana ia tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan. Biarlah mereka (pengundi) membuat keputusan," tambahnya. - Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment