PUTRAJAYA 18 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pengamal serta penganalisis politik mengupas isu-isu semasa dari sudut teori bagi mengelak sebarang tindakan berdasarkan emosi sehingga hilang kewarasan diri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, politik merupakan satu bidang pragmatik dan pengetahuan tentang teori-teori tersebut dapat membantu mereka menjadi lebih objektif dalam membuat telahan isu-isu semasa.
"Pada hemat saya, teori-teori mengenai politik dan kepimpinan memberikan kita satu pandangan alam yang objektif tentang perlakuan dan peristiwa politik yang berlaku di sekeliling kita.
"Teori-teori politik mengelakkan kita daripada teraba-raba atau tercari-cari jawapan atau kewajaran kepada sesuatu peristiwa politik," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran buku Siri Evolusi Kepimpinan 1 : Tinjauan Teori-Teori Terpilih yang ditulis oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Profesor Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta Pengerusi Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaaffar.
Buku tersebut merupakan siri pertama daripada empat siri yang membicarakan tentang evolusi kepimpinan negara.
Kandungannya turut menganalisis gaya dan orientasi kepimpinan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Muhyiddin percaya buku yang mencoretkan kepimpinan tokoh-tokoh politik Melayu itu amat sesuai untuk dibaca pada masa ini terutama dalam usaha kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa bersatu padu.
"Saya berharap buku ini akan menjadi bahan bacaan umum yang akan memperkayakan lagi pengetahuan rakyat Malaysia mengenai sejarah dan khazanah kepimpinan politik negara.
"Kefahaman tentang ilmu politik negara ini, saya percaya akan menjadikan kita lebih objektif dan adil dalam menganggap isu politik negara dan membina negara bangsa," ujarnya. - Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment