PUTRAJAYA 18 Ogos - Majlis Fatwa Kebangsaan dan para ulama di negara ini diminta mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tersebut wajar dilaksanakan segera kerana ia menyentuh soal hukum agama dan akidah umat Islam.
Selain itu, jelasnya, umat Islam perlu diberikan maklumat yang sahih dan benar agar tidak mudah terkeliru dengan sebarang kenyataan yang dianggap tidak munasabah.
"Saya fikir adalah lebih sesuai dan wajar alim ulama di negara ini meneliti apa yang diungkapkan oleh Nik Abdul Aziz itu.
"Biar mereka beri pandangan sama ada apa yang dikeluarkan oleh beliau (Nik Abdul Aziz) betul dalam Islam atau bercanggah dan apa hukumnya berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Siri Evolusi Kepimpinan 1: Tinjauan Teori-Teori Terpilih yang ditulis oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Profesor Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pengerusi Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaaffar.
Nik Aziz dalam kenyataannya semalam menyebut, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan ahli UMNO.
Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, mereka yang menyokong UMNO tidak akan ke syurga dan beliau percaya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka.
Menurut Muhyiddin, beliau terkilan dengan sikap Nik Abdul Aziz yang sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian semata-mata mahu meraih sokongan undi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.
"Saya tidak fikir dalam situasi menghadapi pilihan raya ini, Nik Abdul Aziz boleh sewenang-wenangnya tanpa rasa segan pilu buat kenyataan sebegitu," katanya.
Turut menyokong gesaan agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap semua kenyataan Nik Aziz Nik Mat yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, antara kenyataan Nik Aziz yang memerlukan majlis berkenaan mengeluarkan fatwa adalah orang bukan Islam boleh menghina Islam dan mengundi Pas boleh masuk syurga.
Beliau berkata, tidak mungkin sebagai hamba, seseorang itu mengambil alih tugas Allah dengan menentukan siapa masuk syurga berasaskan parti politik yang disertai oleh seseorang itu.
"Sebaliknya ia adalah kerana takwa dan iman seseorang itu serta tentang ibadah yang dilakukannya," katanya kepada para pemberita di Permatang Ara di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata, Nik Aziz sudah tentu bukan orang yang berkelayakan mengeluarkan fatwa sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Macam-macam fatwa yang dikeluarkan tetapi saya harap ia tidak dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan pengaruh politik kerana fatwa yang dikeluarkan itu tidak berlandaskan kepada nas," jelasnya. - Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment