Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, August 19, 2009

'Seolah-olah Nik Aziz berkuasa dari Allah'

IPOH 18 Ogos - Tindakan menghukum penyokong UMNO tidak masuk syurga memberi gambaran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat seolah-olah lebih berkuasa daripada Allah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, semua orang Islam termasuk Nik Aziz sendiri tahu bahawa soal syurga dan neraka adalah dalam kekuasaan Allah seperti yang dinyatakan oleh al-Quran.

''Nik Aziz juga tahu dalam al-Quran ada menyatakan mungkin orang yang kamu kata teruk itu sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya.

''Kalau nak berpolitik, berpolitiklah tetapi dia kata dia 'tok guru' yang tahu tentang ilmu Islam, mana ada ulama menjatuhkan hukum ahli syurga dan ahli neraka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Perak Ke-33 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam bahawa para penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.

Nik Aziz berkata, Islam yang dibawa oleh UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang ke syurga dan percaya penduduk Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka.

Zambry mendakwa, Nik Aziz yang dianggap sebagai 'tok guru' dan dihormati ahli Pas sejak kebelakangan ini sering mengeluarkan kenyataan yang merepek.

''Kalau macam itu, senang bagi sesiapa yang buat segala kerosakan, kemaksiatan dan dosa. Apabila rasa hendak masuk syurga, masuk parti Pas kerana fatwa 'tok guru' bahawa perjuangan Pas masuk syurga," katanya.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seseorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan masuk syurga.

Beliau berkata, Allah hanya menjanjikan syurga kepada mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...