PONTIAN 19 Sept. - Malaysia meneruskan tradisi unik sebagai negara majmuk dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam bersama-sama penganut agama lain.
Suasana sedemikian bukan sahaja dapat dilihat di bandar-bandar tetapi juga di kampung apabila rakan taulan yang bukan beragama Islam mengunjungi rumah terbuka, malah lebih membanggakan bersama-sama membantu kenalan mereka membuat persiapan menyambut Syawal.
Bagi masyarakat di Kampung Permatang Duku, Benut, kemeriahan sambutan Aidilfitri turut dirasakan oleh masyarakat Tionghua dan India.
Sesuai dengan imej kampung yang pernah memenangi Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan, masyarakatnya sentiasa saling membantu.
Keadaan itu dapat dilihat di rumah Rafeah Nor, 65, yang gembira menyambut kehadiran rakan-rakan bukan sahaja dalam kalangan kaum Melayu tetapi juga kaum lain.
Rafeah berkata, pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran para tetamu bagi memberikan ruang kepada kaum-kaum lain untuk sama-sama meraikan ketibaan Aidilfitri.
"Saya terharu dan gembira kerana dikunjungi ramai tetamu pada hari ini yang menyebabkan kami sekeluarga tidak cukup tangan untuk melayani mereka," katanya kepada Mingguan Malaysia.
Anak lelakinya, Mohd. Zali Mokri, 42, turut membantu melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah mereka.
"Kami sudah seperti sebuah keluarga di kampung ini dan memahami sambutan perayaan kaum masing-masing seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali," katanya.
Persefahaman ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan persahabatan tetapi pada masa yang sama membantu kerajaan menjayakan konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020.
Bagi Ong Kim Lan, 40-an, mereka sekeluarga tidak akan melepaskan peluang mengunjungi rakan-rakan yang menyambut Hari Raya Aidilfifti pada setiap tahun.
Katanya, sebagai masyarakat berbilang kaum di kampung ini, suasana kemesraan sentiasa dipupuk dan dipelihara melalui pelbagai cara termasuk sambutan perayaan ini.
"Selain menikmati pelbagai jenis kuih-muih dan juadah tradisional masyarakat Melayu, saya juga dapat bertanya khabar rakan-rakan yang tinggal di bandar," katanya.
Malah, Kim Lam mahir menganyam ketupat kerana mempelajarinya daripada rakan-rakan sejak kecil, sekali gus mendekatkan dirinya dengan budaya Melayu.
S. Selvi, 38, turut gembira kerana dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri kali ini dengan rakan-rakannya yang beragama Islam.
Katanya, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, dia dan suaminya turut membawa anak-anak berkunjung ke rumah rakan-rakan yang menyambut Aidilfitri agar mereka turut sama merasakan kemeriahannya, katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment