PETALING JAYA 14 Sept. - Dua pakar strategik dan ahli akademik Indonesia tidak menolak kemungkinan sentimen anti-Malaysia yang wujud di republik berkenaan baru-baru ini didalangi oleh negara lain.
Setiausaha Agung Pusat Strategik Indonesia, Bagus Satriayanto dan Pensyarah Fakulti Kemanusiaan University of Indonesia, Dr. Yon Machmudi mendakwa ada negara lain yang tidak senang melihat keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini.
Bagus tidak menolak tanggapan bahawa negara yang mendalangi rasa kebencian segelintir rakyat Indonesia terhadap Malaysia merupakan sebuah negara dari rantau Asia Tenggara sendiri.
''Malahan ada di kalangan kita sendiri yang tidak suka akan hubungan rapat Malaysia dan Indonesia.
''Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah masalah ini timbul ketika hubungan Malaysia dan Indonesia berada pada tahap terbaik dengan penubuhan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Malaysia-Indonesia dan pergerakan manusia yang aktif di antara kedua-dua negara,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar permuafakatan Indonesia-Malaysia di Hotel Saujana di sini hari ini.
Sidang akhbar tersebut dihadiri oleh wakil daripada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang turut mengutuk sentimen kebencian terhadap Malaysia di negara mereka selain menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin.
Selain Pusat Strategik Indonesia dan University of Indonesia, NGO Indonesia lain yang terlibat dalam sidang akhbar itu adalah Center for Indonesia Reform, Lembaga Persahabatan Malaysia-Indonesia dan Yayasan Generasi Baru Nusantara yang dianggotai oleh belia dari Malaysia dan Indonesia.
Yon pula mendakwa api kebencian terhadap Malaysia diwujudkan kerana berkemungkinan ada negara yang tidak senang melihat Malaysia dan Indonesia memilih untuk bekerjasama sesama sendiri dan bukannya dengan negara berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, sentimen anti-Malaysia yang ketara di Indonesia menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena.
''Saya berharap pihak berkuasa kedua-dua negara menyiasat perkara ini secara terperinci memandangkan kami sebagai NGO tidak mempunyai prasarana untuk berbuat demikian.
''Kita lihat ada petunjuk bahawa sentimen membenci Malaysia mempunyai dalang kerana sebelum ini perdagangan negara ini dan Indonesia berada pada tahap paling tinggi,'' katanya sambil menambah Malaysia dan Indonesia mempunyai alasan untuk berasa curiga.
Mohamad Ezam turut memaklumkan bahawa mesyuarat Yayasan Generasi Baru Nusantara malam tadi bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan Pusat Strategik Malaysia- Indonesia (IMSC) yang akan beroperasi selepas Aidilfitri ini.
''IMSC akan menumpukan fokus untuk membentuk anjakan paradigma yang bersifat serantau kepada generasi muda di kedua-dua negara.
''Ia juga akan memastikan generasi muda kedua-dua negara dapat bersatu dan menjadi penggerak ekonomi serta kebudayaan yang lebih kompetitif demi kesinambungan masyarakat serantau,'' katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment