SHAH ALAM 14 Sept. - Cadangan seorang ahli MIC supaya meletakkan 'kalungan selipar' pada gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam disifatkan sebagai keanak-anakan.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, cadangan itu tidak seharusnya dikemukakan kerana kenyataan Dr. Mahathir berhubung kepimpinan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sepatutnya dikaji dan diteliti oleh semua pemimpin parti itu.
Menurutnya, sebagai salah seorang yang berpengalaman dalam Barisan Nasional (BN) serta pembangunan negara, pandangan Dr. Mahathir sepatutnya diterima dengan hati terbuka, bukannya menyerang kembali negarawan itu.
''Sebagai pemimpin yang matang, setiap teguran tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, tetapi ia perlu dipandang serius bagi memperbaiki peranan, fungsi, tujuan serta cara kepimpinan mereka dan parti yang diwakili,'' ujarnya ketika dihubungi.
Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berharap kepimpinan tertinggi MIC tidak membiarkan pemimpin muda mereka bersikap biadap dan kurang ajar terhadap bekas pemimpin negara itu.
''Saya harap apa yang dinyatakan oleh perwakilan itu tidak akan menjadi contoh dan ikutan kepada pemimpin MIC lain untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
''Diharapkan kepimpinan tertinggi MIC dapat mengawal serta mengajar semua pemimpin dan ahli mereka supaya menghormati dan menghargai jasa pemimpin sebelum ini selain bersikap lebih terbuka,'' ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment