Datuk Mukhriz Mahathir |
KUALA LUMPUR: Pertemuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tokoh politik propeperangan Amerika Syarikat, Richard Haas, minggu lalu di New York, menimbulkan tanda tanya mengenai pendirian politiknya berhubung isu Asia Barat.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menganggap pertemuan sulit Anwar dengan Haas yang juga Presiden Majlis Hubungan Luar Amerika Syarikat itu adalah bagi memenuhi kehendaknya yang terdesak untuk mendapatkan perhatian sekali gus menggambarkan sifat kepura-puraannya.
"Ada masanya, Anwar mengeluarkan kenyataan berbelah bahagi berkaitan isu keamanan di Asia Barat dan pada satu masa lain Anwar terus bekerjasama dengan tokoh politik propeperangan.
Anwar dalam laman blognya pada 24 September lalu dalam catatan bertajuk 'Bicara Dengan Richard Haas' mengesahkan pertemuan itu berlangsung di sebuah hotel di New York apabila Haas mengunjunginya untuk minum teh sebelum perbincangan lanjut dengan beberapa teman lama.
Ketika itu, Haas baru melancarkan buku menyerang mantan Presiden Bush kerana dasar tempang menyerang Iraq tanpa alasan kukuh.
Anwar berkata, menerusi buku War of Necessity, War of Choice, Richard mengadunkan penulisannya separa memoir dan separa sejarah, yang mengilhamkan beberapa pandangan jauh khususnya bagaimana Amerika Syarikat boleh belajar melalui peperangan di Iraq dan mempertikaikan kebijaksanaan Amerika Syarikat meneruskan serangan di Afghanistan.
Haas dikenali sebagai seorang yang berpengaruh dalam pentadbiran George H W Bush, yang mengembangkan kuasa negaranya secara unilateral di Asia Barat dalam usaha untuk menguasai lapangan minyak di wilayah itu.
Pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perancangan Dasar dibawa Setiausaha Negara Colin Powell, beliau berpengaruh dalam membuat keputusan berkaitan peperangan di Iraq yang mengorbankan jutaan orang awam. - Berita Harian
Comments
Post a Comment