KUALA LUMPUR 18 Sept. - Rumah terbuka Aidilfitri peringkat nasional akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Putrajaya pada hari raya pertama.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, rumah terbuka itu akan berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 4 petang.
Menurutnya, program itu sebelum ini dirancang diadakan di Johor Bahru pada 4 Oktober ini tetapi atas sebab-sebab tertentu ia ditukar ke Putrajaya.
''Jemaah Menteri menjemput semua warga kota dan orang ramai termasuk pelancong asing untuk memeriahkan rumah terbuka ini.
''Rumah terbuka yang berteraskan perpaduan ini melibatkan penyertaan masyarakat berbilang kaum dan akan dihoskan sendiri oleh Perdana Menteri,'' ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rais berkata, pada majlis itu, orang ramai bukan sahaja disajikan dengan pelbagai juadah istimewa malah turut diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi masakan tradisional seperti dodol, lemang dan rendang.
Tetamu akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis tempatan. - Utusan
Comments
Post a Comment