PELBAGAI isu yang kini melanda kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor menimbulkan pelbagai tanda tanya segenap lapisan rakyat.
Terbaru, pendedahan mengenai tindak-tanduk ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang dikatakan membuli, menghina dan mengaibkan pegawai kerajaan negeri termasuk pegawai daerah berkaitan beberapa isu khususnya membabitkan agihan dana peruntukan dewan undangan negeri ketika pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
Kami, Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia ingin menyuarakan keprihatinan dan tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan Selcat terhadap penjawat awam terbabit dengan isu berkenaan dan isu berbangkit lain.
Kita kena ingat penjawat awam golongan berkecuali atau tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sama ada kerajaan yang menerajui kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) atau PR, golongan penjawat awam terus menjalankan tugas mereka tanpa memilih bulu, latar belakang agama, keturunan mahupun status.
Sehubungan itu, gabungan ingin menegaskan kami menyokong penuh ketegasan dan pendirian Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (juga Pesuruhjaya Pas Selangor) yang bangun membela penjawat awam.
Kebanyakan mereka adalah orang Melayu beragama Islam yang dilayan sebegitu rupa khususnya dalam proses berkaitan urusan Selcat itu.
Kami dengan ini mendesak semua penjawat awam khususnya yang beragama Islam diberi layanan adil, saksama, tidak dihina dan dibuli sesuka hati atau diaibkan semata-mata untuk mencari penyelesaian kes yang diadili Selcat.
Kami juga menyokong saranan YB (Hasan) agar jawatankuasa yang menganggotai Selcat dirombak semula dan dibarisi ahli lebih berwibawa, tidak emosional dan tidak didasari sesuatu agenda tersembunyi.
Kami juga menyokong supaya Selcat lebih bersikap terbuka, telus dan bersedia menerima teguran mahupun kritikan yang membina oleh mana-mana pihak walaupun daripada musuh politiknya sendiri.
Akhir kata, kami ingin mengingatkan Selcat agar tidak lagi bertindak di luar batas kemanusiaan dengan memperbodohkan penjawat awam khususnya orang Melayu beragama Islam yang banyak berjasa sebagai kakitangan kerajaan dengan ikhlas, setia dan rela berkorban setiap masa demi membawa kecemerlangan kepada kerajaan negeri, Pusat dan negara.
Mereka sebenarnya tidak minta jasa mereka dikenang oleh masyarakat, namun pada masa sama kita tidak seharusnya merendah-rendahkan martabat dan maruah mereka yang sememangnya mempunyai pendirian, harga diri dan prinsip perkhidmatan tidak ternilai harganya.
DATUK MOHD SAID MAT SAMAN
Yang Dipertua Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia - Harian Metro
Comments
Post a Comment