KUALA LUMPUR 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kontraktor dan UDA Holdings Bhd. yang telah berjaya menyiapkan penambahbaikan fasa pertama Hentian Puduraya hanya dalam tempoh 51 hari.
Perdana Menteri percaya orang ramai yang menggunakan Hentian Puduraya dapat melihat dan merasai keadaan lebih baik dan selesa berbanding dengan keadaannya sebelum ini.
Beliau berkata, sejak mengadakan lawatan ke Hentian Puduraya pada 25 April lalu, kerajaan telah mengarahkan penambahbaikan dibuat yang bertujuan untuk menjadikan terminal bas ini sebuah pusat moden, serba lengkap dan selesa.
"Alhamdulillah sejak lawatan itu dalam 51 hari segala tindakan telah dibuat oleh kerajaan dan UDA dan hari ini saya bangga sekali melihat keadaan ini iaitu perubahan yang amat besar berbanding dengan keadaan asalnya.
"Penambahbaikan ini merupakan fasa pertama dengan kos sebanyak RM4.2 juta dan fasa kedua akan menyusul. Kita menjangkakan dalam masa setahun lebih, semuanya akan siap sepenuhnya yang dijangka menelan belanja RM22 juta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke Hentian Puduraya bagi meninjau sendiri perkembangan usaha penambahbaikan terminal bas itu.
Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan serta Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohd. Sadique.
Perdana Menteri yang tiba di Hentian Puduraya pada pukul 5.20 petang telah meninjau tingkat mezanin yang menempatkan ruang menunggu yang selesa dan berhawa dingin serta bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV).
Najib juga meninjau laluan pejalan kaki berbumbung yang terletak di bahagian luar hentian itu dan menyambungkan terus ke Stesen LRT STAR Bandaraya yang turut terkandung dalam penambahbaikan fasa pertama itu.
Perdana Menteri berkata, fasa kedua akan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada penumpang sehingga tiga kali ganda daripada asal.
Malah, katanya, para peniaga juga akan memperoleh lot kedai yang lebih moden dan luas serta selesa, selain daripada keseluruhan kawasan Hentian Puduraya itu akan diperluaskan menjadi lebih indah dan moden, sekali gus bakal menjadi mercu tanda terbaharu Kuala Lumpur.
Pada 25 April lalu, Perdana Menteri telah melakukan kejutan dengan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Hentian Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu lintas.
Beliau menyaksikan sendiri kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam semasa melakukan tinjauan selama sejam itu.
Najib kemudiannya menaiki perkhidmatan LRT yang penuh sesak ketika itu. Beliau terpaksa berdiri dari Stesen Masjid Jamek ke Stesen Plaza Rakyat sebelum berjalan kaki ke Hentian Puduraya yang juga sesak. - Utusan
Comments
Post a Comment