|
|
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu secara sinis terus menyindir bekas Timbalannya, Datuk S. Subramaniam yang disifatkan sebagai bermasalah kerana gagal bekerjasama dengan beliau walaupun telah diberi peluang berbuat demikian selama 27 tahun.
"Saya tidak tahu kenapa beliau tidak boleh bekerja sama, saya bukannya 'orang busuk', berbanding dengan Datuk G. Palanivel walaupun diberikan peluang hanya tiga tahun, tetapi telah membuktikan mampu bekerja dengan baik bersama saya," katanya.
Samy Vellu berkata demikian dalam ucapan penutupnya sempena Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Keputusan pemilihan parti semalam menyaksikan calon-calon yang mendapat sokongan Samy Vellu menyapu bersih semua jawatan tertinggi yang ditandingi.
Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Palanivel mengekalkan kedudukannya buat penggal kedua dengan mengalahkan Subramaniam dan bekas Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan.
Samy Vellu dalam ucapannya turut mengumumkan tugas pertama Palanivel untuk mengetuai jentera pilihan raya MIC bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan misi utama bagi memastikan kemenangan BN.
Katanya, beliau akan duduk bersama dengan Palanivel untuk merancang strategi pilihan raya terbaik yang mampu memenangi hati dan minda pengundi-pengundi India di Bagan Pinang.
Sementara itu, menyentuh keputusan pemilihan itu, Samy Vellu berkata, ia telah memberikan kekuatan kepadanya untuk melaksanakan lebih banyak reformasi dalam parti bagi memperkasakan MIC.
"Saya ingin memberi jaminan bahawa setiap pemimpin yang dipilih akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan semangat baru,'' katanya.
Tegas beliau, selaras dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti bekerja keras untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada BN, pihaknya akan meneruskan usaha-usaha yang dilakukan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau berkata, melalui pelbagai tindakan yang diambil oleh MIC, masyarakat India telah mula kembali kepada BN dan proses tersebut akan diteruskan dengan pendekatan-pendekatan baru yang dapat meyakinkan masyarakat India.
Pendekatan MIC kali ini, katanya lagi, akan lebih menumpukan kepada agenda menarik lebih ramai golongan muda menyertai MIC dengan membuka ruang dan peluang kepada kumpulan itu untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam parti.
"Sebagai langkah pertama, pendaftaran ahli-ahli baru akan mula dilakukan secara 'online' melalui Portal MIC bagi memudahkan lebih ramai golongan muda dan berpendidikan menjadi ahli MIC. Selain itu, lebih banyak cawangan yang diketuai oleh golongan muda akan dibuka.
"Kami telah mengenalpasti lebih kurang 2,000 graduan yang akan terlibat dalam usaha ini. Ke arah ini, Pergerakan Pemuda dan Putera akan terlibat dengan lebih aktif lagi. Kedua-dua pergerakan ini akan mengatur semula jentera mereka dengan melaksanakan pendekatan-pendekatan yang baru," katanya.
Selain itu, katanya lagi, golongan wanita juga akan diberikan peranan yang lebih besar dan mencabar termasuk memberikan peluang kepada pemimpin wanita berpotensi untuk mengetuai cawangan, bahagian.
Malah, menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan golongan itu boleh menjadi Presiden MIC pada masa akan datang. - Utusan
Comments
Post a Comment