MELAKA 18 Sept. - Tradisi mengacau kuih tradisional dodol menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun wajar dikekalkan kerana juadah itu diwarisi sejak dari zaman nenek moyang kita lagi.
Dodol cukup sinonim pada setiap sambutan Aidilfitri kerana ia menjadi hidangan yang perlu ada di samping biskut raya, ketupat, lemang, rendang ayam dan daging.
Namun pada masa kini kuih tradisional orang Melayu itu tidak hanya dihidangkan pada Aidilfitri semata-mata, sebaliknya ia turut menjadi juadah pada majlis perkahwinan dan program-program rasmi kerajaan negeri.
Sejak beberapa tahun ini, dodol tidak lagi dimasak secara individu tetapi ia diusahakan secara beramai-ramai dan sudah menjadi aktiviti kemasyarakatan di setiap kampung apabila menjelang Aidilfitri.
Ia mengimbas kembali pada zaman nenek moyang kita kerana aktiviti mengacau dodol dilakukan secara bergotong-royong melibatkan penduduk kampung tidak kira tua atau muda.
Sepanjang bulan Ramadan dan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri, dodol dimasak secara beramai-ramai dengan pelbagai pihak menganjurkan aktiviti mengacau dodol.
Cukup jelas, dodol bukan sahaja untuk dimakan malah melaluinya juga ia dapat mengeratkan silaturahim penduduk setempat.
Dalam beberapa program seperti Jom Kacau Dodol, ia sebenarnya mempunyai makna yang besar dari segi hubungan sesama anggota masyarakat dan selok-belok membuat dodol.
Melalui program itu, ia dapat meningkatkan semangat kerjasama yang tinggi sekali gus membuktikan kerja yang berat akan menjadi ringan jika dilakukan secara bersama.
Memasak dodol tidak semudah seperti merasa keenakan makanan itu.
Mengimbas kembali kepada sejarah makanan tradisional ini, dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan manisan yang sangat terkenal di Melaka dan di Muar, Johor.
Bagi Senin Samad, 48, yang berpengalaman membuat dodol itu mengakui memasak dodol bukan tugas yang mudah kerana ia memerlukan penelitian serta kesabaran ketika membuatnya.
Katanya, hanya mereka yang mempunyai kepakaran dalam membuat dodol dapat memastikan makanan tradisi ini siap dimasak dalam keadaan yang baik dan sempurna.
''Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol adalah seperti santan kelapa, tepung beras pulut, gula pasir, gula melaka dan garam.
''Manisan dodol ini diadun daripada perahan santan kelapa tua, gula merah yang diperbuat dari ekstrak tebu atau gula melaka) serta tepung beras ataupun tepung pulut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Semua ramuan itu akan diadunkan melalui kaedah mengacau yang memakan masa antara tiga hingga empat jam.
Ia perlu dimasak dan dikacau sebati sehingga kering bagi memastikan keadaannya berubah menjadi melekit, tebal dan manis.
''Tepung beras dan tepung pulut dibancuh dengan santan dan setelah itu ditapis ke dalam kuali besi dan gula melaka dimasak bersama daun pandan.
''Bila telah larut, barulah masukkan adunan tepung kemudian dikacau apabila setengah masak, masukkan pati santan sehingga ia masak," katanya.
Menurut Senin, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar.
Dodol yang dimasak perlu dikacau sepanjang masa bagi mengelakkan dodol itu hangus atau berkerak di bahagian bawahnya.
Apa yang menarik, kepuasan bagi mereka yang mengacau dodol ini akan dicapai selepas dua jam dodol itu dimasak berwarna coklat pekat.
Katanya, untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat.
Dodol juga turut dipelbagaikan dengan pelbagai perisa seperti durian, kelapa dan pisang. - Utusan
Comments
Post a Comment