DENGKIL: Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan tuduhan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) mengawal hak mengundi kira-kira 5,000 pengundi pos di kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, sebagai tuduhan tidak berasas.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu, calon pembangkang dari Pas yang bertanding bagi kerusi berkenaan mendapat lebih 1,000 undi pos.
"Ini bermakna, anggota tentera dan polis termasuk ahli keluarga masing-masing bebas untuk mengundi calon pilihan mereka.
"Jika betul BN mengawal serta memonopoli undi pos atas arahan pihak pemerintahan kem, sudah tentu kita akan dapat semua undi dan pembangkang akan mendapat kosong undi pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Kasih Rakyat di sini, semalam. - Berita Harian
Comments
Post a Comment