Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, September 13, 2009

Amalan mulia patut diteruskan - Muhyiddin

MUAR 12 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu keprihatinan umat Islam dalam membantu golongan kurang bernasib baik tidak terhad pada bulan Ramadan semata-mata tetapi dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor korporat untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan berkenaan merupakan perkembangan baik dalam pembangunan sosio ekonomi masyarakat secara menyeluruh.

Katanya, amalan pemurah yang cukup terpuji dalam agama Islam itu juga dapat membantu kerajaan melaksanakan dasarnya untuk membasmi kemiskinan pada semua peringkat.

"Pada bulan Ramadan, kita dapat melihat sumbangan daripada umat Islam yang pemurah dan prihatin mencurah-curah sama ada di dalam bentuk barangan mahupun duit.

"Budaya pemurah ini amat dituntut oleh agama dan ia perlu dikekalkan sepanjang masa." katanya ketika berucap pada majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran serta sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Pagoh dengan kerjasama Amanah Raya Berhad itu turut meraikan seramai 181 golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal dan anak yatim dari kawasan Pagoh.

Menurut Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan menjelang tahun 2010 supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

"Agenda pembasmian kemiskinan masih kita teruskan dan ia dilakukan dengan membantu mereka menerusi beberapa program peningkatan pendapatan," katanya.

Katanya, pihak kerajaan juga sedar pembangunan sosio ekonomi masyarakat tidak sepatutnya terkongkong di tahap pendapatan sederhana sahaja kerana ia dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Walaupun kita telah dapat melihat peningkatan, ia tidak terlalu ketara. Kita juga mahu melihat peningkatan daripada pendapatan sederhana kepada pendapatan tinggi.

"Sehubungan itu, kerajaan telah membentuk sebuah kumpulan pakar ekonomi bagi merangka pelan ekonomi yang komprehensif dalam melaksanakan matlamat ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...