Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, September 15, 2009

Naik taraf sambutan 16 September

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) meluluskan ketetapan memohon kerajaan agar menaik taraf hari penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September sebagai satu perayaan penting negara yang lebih menyeluruh sambutannya berbanding sekarang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan taraf sambutan itu menepati gagasan 1Malaysia yang menitikberatkan aspek perpaduan antara semua lapisan rakyat.

Beliau berkata, Pemuda BN tidak berharap agar sambutan itu setaraf sambutan kemerdekaan tetapi ia perlu lebih bersemangat dan rancak berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Antara perkara terpenting ialah bagaimana kita beri pengiktirafan simbolik kepada rakyat kita di Sabah dan Sarawak supaya betul-betul kita melihat 1Malaysia ini adalah satu konsep yang dapat membawa perubahan dari segi penyatuan dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia

"Kita minta dan buat ketetapan bahawa tarikh 16 September yang merupakan satu tarikh keramat dan istimewa, terutama untuk rakyat di Sabah dan Sarawak, kerana ia tarikh penubuhan Persekutuan Malaysia dan kemasukan Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini hari ini.

Kata Khairy, peningkatan taraf sambutan itu boleh dilakukan kerajaan dengan menambahkan peruntukan sambutan serta membantu meningkatkan semangat rakyat.

"Kesedaran kepada rakyat harus diberikan bahawa tarikh 16 September adalah tarikh Persekutuan Malaysia dilahirkan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...