KUALA LUMPUR 13 Sept. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin terus berteka-teki mengenai identiti 'Pak Janggut' yang dikritik melalui blognya sejak beberapa hari lalu.
Buat masa ini, katanya, beliau belum bercadang untuk mendedahkan individu atau kelompok yang dimaksudkan dan membiarkannya menjadi misteri.
''Sudah ramai wartawan telefon tetapi saya memang tidak mahu ulas, awak carilah sendiri," katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 9 September lalu, Zulkifli melalui blognya mengkritik golongan yang dilabelkan 'Pak Janggut' kerana dikatakan sanggup memutar-belit ayat-ayat al-Quran seperti ketika mendebatkan isu pemindahan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.
Antara lain tulisannya berbunyi: ''Yang paling jelik, ada di kalangan 'Pak Janggut' sanggup memutarbelit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Malah umat Islam Seksyen 23 dipersalahkan kerana tidak bersikap 'adil' dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka''.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berpendapat, identiti 'Pak Janggut' yang digambarkan oleh Zulkifli mungkin merujuk kepada individu-individu dari Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beragama Islam.
Katanya, 'Pak Janggut' seperti digambarkan Zulkifli merupakan seorang atau sekumpulan Muslim yang mengetepikan kepentingan agama demi kelangsungan politik masing- masing.
''Saya rasa 'Pak Janggut' ini merujuk kepada orang-orang Islam yang memimpin atau menyokong Pas dan PKR. Mereka ini tidak ada lain, otak 24 jam fikir politik sahaja.
''Kalau Zulkifli kata 'pak keris' mungkin saya akan fikir UMNO, tetapi pendekatan Islam yang dibawa parti itu adalah sederhana," katanya.
Ibrahim menambah, golongan seperti itu memang ramai di dalam Pas dan PKR serta parti-parti politik lain di seluruh negara.
''Di Kelantan sendiri, ada kejadian di mana ahli Pas dikesan terlibat dalam sabung ayam serta kegiatan tidak bermoral lain, sedangkan kita semua tahu Pas melaungkan perjuangan dan cara hidup Islam," dakwanya. - Utusan
Comments
Post a Comment