ALOR SETAR 13 Sept. - Dewan Pemuda Pas tidak perlu mencampuri urusan kerajaan negeri dalam soal penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak berkata, di negeri Kedah sendiri ada undang-undang yang mengharamkan orang Islam meminum arak dan arak hanya dibenarkan dijual di kedai-kedai tertentu yang diberikan lesen.
"Saya tidak tahu apa-apa pasal kertas cadangan ini dan kita kena tengok dulu cadangan itu bagaimana.
"Lagipun apa hak dan kuasa Dewan Pemuda Pas ke atas pentadbiran kerajaan negeri dan di Kedah ini pun kita memang kawal penjualan arak," ujarnya ketika ditemui di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat untuk menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.
Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi Abd Rani berkata, kertas cadangan itu yang dijangka siap penghujung tahun ini, tidak akan mengharamkan penjualan arak secara menyeluruh di negeri-negeri itu.
Menurut Azizan, agama Islam tidak membenarkan penganutnya meminum arak dan pihak-pihak lain perlu menghormati peraturan ini.
"Bagi orang yang bukan Islam kita tidak halang mereka minum arak.
"Namun jika mereka minum arak sehingga mengganggu orang lain kita kena ambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka," katanya.
Jelas beliau, apa yang penting sekarang adalah soal pelaksanaan undang-undang Islam terhadap mereka yang meminum arak.
"Dah jelas arak ini haram untuk orang Islam dan Kartika Sari Dewi Shukarnor bakal dikenakan hukuman sebat kerana kesalahan meminum arak.
"Tapi bila kita nak laksanakan undang-undang ini riuh satu dunia dan tidak perlu cadangan-cadangan ini kerana kita perlu tekankan pada soal pelaksanaan undang-undang," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment