Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, September 14, 2009

Jangan politikkan Islam

SEREMBAN 13 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegur tindakan segelintir ahli politik di negara ini yang sanggup mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan parti mereka.

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak mampu membawa kemajuan kepada umat Islam sebaliknya menyebabkan mereka terus ketinggalan dalam segenap bidang berbanding penganut agama lain.

"Kadang-kadang kita lupa bahawa Islam ini merupakan sebahagian dari hidup kita. Ini kita lakukan melalui cara kita bekerja, menghapuskan kemiskinan, soal pelajaran dan ekonomi perlu mengikut ajaran Islam.

"Jangan kita pula mempolitikkan Islam sebagai alat berpolitik. Itu adalah salah kerana ia bertujuan mencari populariti atau mendapat kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sumbangan Aidilfitri kepada Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan di Bahagian Rembau di Rantau di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, Islam merupakan agama yang lengkap serta meliputi kesemua aspek kehidupan malah ia juga tidak mengenepikan masyarakat bukan umat.

"Jadi tidak perlulah kita menegakkan benang yang basah dengan mengeluarkan hukum mengkafirkan umat Islam sendiri dengan menggunakan ayat al-Quran yang tidak habis dibaca.

"Siapa kita hendak menghukum orang itu kafir walhal ia terletak pada Allah," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...