|
|
PUTRAJAYA 14 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu para diplomat asing memperbetulkan persepsi negatif terhadap negara ini yang digambarkan oleh segelintir media antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, liputan media mengenai beberapa isu yang berlaku dalam negara menyebabkan imej Malaysia menjadi buruk di mata dunia.
‘‘Adalah diharapkan para duta dan pesuruhjaya tinggi asing di negara ini terus memberi sokongan supaya orang luar lebih memahami keadaan sebenar di Malaysia.
‘‘Kadang-kala liputan media memberikan gambaran negatif terhadap negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada perwakilan asing dan warga Kementerian Luar dalam majlis berbuka puasa di Wisma Putra di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan isteri, Datin Siti Rubiah Abdul Samad.
Selain itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus melaksanakan dasar persahabatan iaitu berbaik-baik dengan semua negara.
‘‘Dari segi dasar luar, kita akan bekerjasama dengan semua negara, kita mahu bersama-sama membawa keamanan dan kemakmuran kepada dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Najib menegaskan, penganjuran dialog antara agama boleh diperluaskan bagi menjamin persefahaman antara penduduk dunia yang berbilang kaum dan agama.
Beliau turut menggalakkan rakyat beragama Islam di Malaysia bekerjasama dengan mereka yang bukan beragama Islam untuk membawa perubahan positif kepada pembangunan negara.
‘‘Rakyat beragama Islam dan bukan beragama Islam mesti terus bekerjasama untuk membawa perubahan kepada negara,” katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment