PUTRAJAYA: Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura Isa turut disenarai sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.
Katanya, walaupun Umno bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri mahukan dirinya bertanding, mereka perlu ingat bahawa pilihan raya kecil itu bukan membabitkan wakil dari Umno bahagian itu saja yang bertanding.
Ia kerana rakyat akan melihatnya sebagai mewakili Umno seluruh negara dan menggambarkan pendirian Umno, katanya.
"Macam satu orang boleh menang jadi Presiden Umno tapi tak bermakna dia boleh menang pilihan raya," katanya.
Isa digantung selama tiga tahun pada 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.
Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Oktober ini dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September akibat jangkitan dalam darah.
Mengenai kemelut MCA, Dr Mahathir berkata ia boleh selesai sekiranya pemimpin parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. - Berita Harian
Comments
Post a Comment