KUALA LUMPUR 12 Sept. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tidak akan menetapkan tarikh pengunduran beliau walaupun semua calon yang disokongnya menang pada pemilihan kali ini.
Beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh dilakukan kerana langkah berkenaan akan menyebabkan parti itu menjadi tidak stabil.
“Saya telah sebut bahawa ini penggal saya yang terakhir tetapi saya tidak mahu menyatakan esok atau lima bulan lagi saya akan berundur kerana ini hanya menyebabkan gengster datang untuk menimbulkan kekecohan dalam parti.
“Saya tidak akan membuat apa-apa pengumuman mengejutkan pada masa sekarang dan sebarang kenyataan mengenai pengunduran hanya dibuat pada waktu yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi pusat media Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas ucapan perasmian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan semua pemimpin parti komponen berusaha menjadi popular di kalangan rakyat, beliau berkata, Pengerusi BN itu mempunyai hak untuk memberitahu pemimpin parti komponen lain apa yang sepatutnya dilakukan mereka.
“Semua pemimpin harus mendengar dan melaksanakan apa yang dicadangkan ini jika ia boleh dilakukan.
“Saya sendiri sebelum ini sentiasa bertemu rakyat dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di pejabat ketika saya menjadi menteri dan pertemuan ini melibatkan 700 hingga 800 orang seminggu,” katanya.
Samy Vellu juga menolak dakwaan bahawa sokongan terhadapnya merosot apabila bilangan perwakilan yang bertepuk tangan ketika Najib berucap adalah lebih ramai berbanding ketika beliau menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden MIC.
“Ini adalah kerana Najib adalah Perdana Menteri dan kalau saya memegang jawatan sama, saya juga akan mendapatkan tepukan sekuat itu,” ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment