KUALA LUMPUR 15 Sept. - Keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya akan diketahui esok.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menangguhkan hingga pukul 2.30 petang esok kerana beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti hujahan memandangkan ia bukan isu biasa tetapi sesuatu yang unik.
Hakim Alizatul sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan setelah selesai mendengar hujahan pihak pemohon dan responden pada 3 September lalu.
Pihak responden dalam hujahan balasnya mengemukakan bantahan awal agar permohonan itu ditolak dengan alasan ia tidak berasas.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh R. Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.
Anwar selaku pemohon menamakan Peguam Cara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin responden pertama hingga ketujuh.
Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar turut menamakan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia responden kelapan dan kesembilan.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengemukakan permohonan tersebut dengan alasan wujudnya berat seberat, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.
Ini kerana, dakwanya, pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada tahun 1998.
Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden 'mata lebam'.
Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
Perbicaraan kes liwat itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November ini. - Utusan
Comments
Post a Comment