KUANTAN 15 Sept. - Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran @ Peter Sukumaran menganggap kenyataannya berhubung kalungan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak sengaja.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai terlepas cakap, Sukumaran berhasrat memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu tetapi masih memikirkan cara terbaik untuk berbuat demikian.
"Ya, saya terlepas cakap dan saya akan fikirkan dulu apa tindakan yang harus saya lakukan untuk memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir.
"Bagaimana cara permohonan maaf itu, saya akan fikirkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sukumaran mencetuskan kontroversi apabila beliau pada Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini menggesa supaya diletakkan kalungan selipar pada gambar Dr. Mahathir ekoran kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.
Berikutan keceluparannnya itu, pelbagai pihak mengecam MIC dan mendesak parti itu memohon maaf ekoran cadangan melampau dan biadab perwakilannya itu.
Ditanya sama ada beliau akan memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Mahathir, Sukumaran memberitahu, beliau masih belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil bagi meredakan keadaan.
"Saya akan fikir dahulu sama ada untuk memohon maaf secara terbuka atau berjumpa terus dengan Tun Dr. Mahathir," jelasnya.
Tambahnya, beliau memerlukan sedikit masa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut tidak menafikan turut tertekan dengan kontroversi tersebut. - Utusan
Comments
Post a Comment