PORT DICKSON 15 Sept. – Hasrat seorang pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober depan, mendedahkan persepakatan pembangkang sebenarnya rapuh.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, keadaan itu menggambarkan sudah wujud senario yang tidak menentu dalam pakatan pembangkang sehingga pemimpin mereka bertindak bertanding sebagai calon Bebas.
‘‘Apa yang berlaku dalam pembangkang memperlihatkan telah ada pergeseran dengan ahli sendiri, sehingga mahu bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil ini.
‘‘Ideologi parti mereka pun berbeza sehinggakan masalah seperti ini pun boleh berlaku di kalangan ahli parti mereka. Sepatutnya, mereka boleh duduk semeja, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan semua ahli Wanita UMNO cawangan Bagan Pinang di sini hari ini. - Utusan
Comments
Post a Comment