KUALA LUMPUR 19 Sept. - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu komited untuk membawa perubahan dalam parti jika tidak mahu rakyat menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pemimpin parti komponen perlu sedar dan memikirkan kesan secara keseluruhan kepada BN jika mereka gagal membawa perubahan dalam parti masing-masing.
Jelasnya, soal sama ada baik atau tidak seseorang pemimpin menerajui parti untuk tempoh yang lama adalah terpulang kepada penerimaan rakyat dan ahli parti tersebut.
"Seseorang pemimpin itu juga perlu memikirkan apa yang hendak dilakukan jika sudah ada tanda-tanda penolakan rakyat terhadap kepimpinannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada BN pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan parti itu akan menjadi mangsa kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.
Dr. Mahathir berkata, Samy Vellu perlu melepaskan jawatannya kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas, malah beliau sendiri turut kalah.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, Gerakan tidak akan mencampuri urusan parti komponen lain dalam BN dan berpendapat MIC perlu menyelesaikan sendiri masalah yang mereka hadapi.
Menurutnya, seorang pemimpin parti termasuk presiden patut mengkaji dan meninjau pandangan ahli akar umbi serta masyarakat secara keseluruhan berhubung kepimpinan mereka selepas tempoh tertentu.
"Ia sama seperti yang dilakukan bekas Presiden Gerakan, Tun Lim Keng Yaik yang mengambil keputusan untuk bersara daripada arena politik pada dua tahun lalu.
"Bagaimanapun, adalah relevan untuk seorang presiden untuk terus menyandang jawatan mereka sekiranya parti itu masih tiada pelapis yang layak menyandang jawatan berkenaan," ujarnya.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong juga memberitahu, MCA mempunyai prinsip tidak akan mencampuri urusan parti komponen lain dan percaya bahawa setiap parti tidak suka dilihat berada di bawah telunjuk orang lain.
"Kami sentiasa mendokong dan berpegang kepada prinsip tersebut. Apa yang disuarakan oleh Dr. Mahathir semalam mungkin hanya merupakan pandangan peribadi beliau sebagai seorang negarawan.
"Semua individu di negara ini mempunyai kebebasan untuk bersuara, justeru kita perlu menghormati hak mereka untuk menyuarakan pandangan masing-masing," katanya.
Menurut beliau, realiti yang berlaku dalam MIC adalah Samy Vellu masih mendapat sokongan daripada perwakilan MIC sehingga hari ini, justeru semua pihak perlu menghormati keadaan tersebut. - Utusan
Comments
Post a Comment