|
|
ALOR SETAR 15 Sept. - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merancang membina kilang padi serta baja bagi meningkatkan pendapatan para pesawah di bawah seliaan MADA.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, pihaknya yakin MADA dapat merealisasikan rancangan itu kerana 40 peratus keluaran padi negara datang dari kawasan MADA.
''Banyak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA juga mempunyai mesin padi sendiri dan kita mahu pesawah-pesawah MADA berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
''Kita akan menggunakan jenama 'Kedah Rice' untuk padi yang diproses oleh kilang padi MADA dan saya jangkakan kilang padi ini akan beroperasi secepat yang mungkin," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan banjir 2008 berjumlah RM6.3 juta kepada 5,821 pesawah yang mengalami kerugian akibat banjir pada tahun lalu.
Turut bersama pada majlis itu ialah Pengerusi Mada, Mahdzir Khalid dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenaga Baru, Haji Osman Hussin.
Banjir pada tahun lalu mengakibatkan 9,715 hektar kawasan tanaman padi terjejas teruk.
Menurut Johari, kilang padi dan baja itu perlu diwujudkan memandangkan hasil padi meningkat setelah projek estet padi diperkenalkan.
''Sehingga kini kita ada kira-kira 13,000 hektar estet padi di seluruh kawasan MADA Kedah/Perlis.
''Kita jangkakan jumlah ini akan meningkat sehingga 20,000 hektar pada tahun depan dan kita mahu mereka yang profesional menguruskan kilang padi ini untuk membolehkan pendapatan para petani ditingkatkan,'' katanya.
Jelasnya, setiap PPK MADA perlu mempunyai identiti sendiri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan hasil keluaran padi mereka.
''Kita juga galakkan para pesawah ini menyertai program estet padi kerana hasil padi boleh ditingkatkan secara optimum.
''Tenaga kerja juga dapat dikurangkan dan pesawah hanya menunggu masa sahaja padi dituai," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment