Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, September 18, 2009

Perhalusi semula usaha perpaduan orang Islam

BULAN Ramadan melatih umat Islam supaya menahan diri daripada segala lapar dahaga, kata dan sangka nista. Apabila dikira berjaya, maka ia dirai bila bulan Syawal menjelang tiba. Bulan mulia ini adalah bulan merayakan kemenangan menentang nafsu dan hasutan ajaran syaitan.

Di Malaysia, sebelum Ramadan tiba, orang Islam hangat berbicara tentang cadangan "perpaduan". Namun sepanjang Ramadan, idea ini bagaikan menyepi. Mungkin golongan penyokong dan penentang cadangan tersebut sedang bermuhasabah diri.

Tetapi masa bermuhasabah sudah tamat. Syawal adalah masa untuk melaksanakan apa yang telah dimuhasabahkan sebulan lamanya. Sempena kemuliaan bulan mulia ini, sebagai tanda kemenangan, cadangan perpaduan tersebut wajar diperhalusi semula.

Percayalah, idea itu sendiri adalah satu bentuk kemenangan. Sekurang-kurangnya ia mesti diberi peluang digerakkan.

Ketika era Perang Salib, Richard "The Lion Heart" pernah berpesan kepada pewaris dan penasihat beliau supaya menjauhi konfrontasi secara langsung dengan orang Islam.

Daripada aspek fizikal dan kelengkapan tentera, angkatan Muslimin adalah sangat kuat. Hanya ada satu cara mengalahkan mereka; kuasai jiwa dan galakkan perpecahan di kalangan mereka. Baru senanglah umat Islam itu diperangi.

Nasihat Richard kekal tersemat menjadi panduan Raja dan Ratu British apabila mereka bangkit menguasai sepertiga dunia sepanjang kurun ke-16 hingga kurun ke-20.

Antara hasilnya, dominasi Kerajaan Uthmaniyyah di Semenanjung Arab akhirnya hancur tumbang apabila British mengutus Lawrence "The Arabia" ke tanah Arab. Beliau meracun, menghasut dan mengajar orang Arab tentang ideologi nasionalisme ekstrem agar mereka bangkit menentang pemerintahan Islam Turki dan menubuhkan negara masing-masing.

Sejak itulah, negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi dan lain-lain negara Teluk muncul bagai cendawan berperang menuntut pemisahan berdarah daripada Ankara.

Lawrence berjaya mencapai misinya. Ironinya, orang Arab itu sendiri akhirnya dijajah oleh British dan menjadi hamba penjajah kafir kulit putih ini beratus tahun lamanya.

Termasuklah orang Melayu di Tanah Melayu.

Justeru, apakah mungkin model pemecahan orang Islam ini turut diguna pakai British di Tanah Melayu? Apakah idea penubuhan pelbagai parti politik Melayu/Islam di Tanah Melayu didalangi British supaya mereka berpecah? Supaya negara ini bakal hancur dan membolehkan mereka kembali memperhambakan penduduk di Tanah Melayu?

Benarkah, pada hari ini, 15 juta orang Melayu mudah lupa? Apakah orang Arab juga mudah lupa? Apakah 800 juta orang India dan 1.2 bilion orang China juga mudah lupa? Kesemuanya pernah dijajah British yang sebelum itu datang bertamu membawa barang dagangan.

Memang kesemua kaum dan bangsa ini mudah lupa. Kalau tidak masakan Hamas dan Fatah tetap berpecah sehingga tergadai Palestin. Kalau tidak masakan beberapa negara Arab dan Afrika Utara, dengan syarat mereka bermusuh antara satu sama lain, masih terus bergantung hidup kepada "candu" wang dan bantuan kuasa-kuasa besar.

Kalau tidak masakan orang Melayu suka menentang idea supaya mereka berpadu dan bersatu.

Idea perpaduan di Malaysia adalah sesuatu yang pada asasnya mulia. Ia menganjurkan supaya orang Melayu/Islam/Bumiputera berpadu dan bersatu mencari jalan merealisasikan amanah Tuhan melalui jalan politik di negara ini.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Jika alasan perbezaan dasar menjadi alasan - sehingga dilaporkan boleh membawa kepada pertembungan syurga dan neraka - kenapa pula ikatan kerjasama boleh dibentuk dengan pertubuhan yang secara jelasnya mahu ke neraka?

Jika benci menjadi orang suruhan, mengapa tidak berani mengadakan perhimpunan aman menentang judi dan arak terbuka? Jika mahu melaksanakan perintah Tuhan sepenuhnya, mengapa pula tidak berani bersuara apabila terang-terangan dicap sebagai ekstremis dan pelampau agama?

Perundingan dalam apa jua bentuk perkara memerlukan watak, seni dan kemahiran yang secukupnya. Rendahkan hati, tetapkan niat dan bukakan minda seluas-luasnya.

Sebab itu, walaupun pernah tampak berpatah arang, kini Proton dan Mitsubishi masih mahu berunding tentang kerjasama strategik perniagaan. Model rundingan orang bisnes ini boleh sahaja dijadikan panduan. Justeru, rundingan politik juga boleh mengambil bentuk kerjasama strategik yang sama.

Pertama sekali, fikirkan tentang Tuhan. Selepas itu pertimbangkan tentang masa depan. Kemudian bayangkan hasilnya. Akhir sekali, selami tentang tanggungjawab manusia sesama manusia di Malaysia ini.

Jika benar mahu memperbaiki atap rumah pelanggan yang bocor, masuklah ke dalam terlebih dahulu. Ucapkan salam, mohon izin masuk dan kemudian lihat, pertimbang dan nilaikan kos pembaikannya. Tulis dan serahkan sebut harga dan berjanjilah untuk mengotakannya apabila segalanya dipersetujui.

Jika sebaliknya, berfikirlah sekali lagi. Apakah mungkin sebut harga itu boleh direndah sedikit atau ditambah nilainya? Berinovasilah supaya yang dikejar tidak terlepas dan yang dikendong tidak berciciran.

Sesungguhnya banyak ayat dalam al-Quran menyatakan - dalam tiap-tiap sesuatu itu, ada petanda bagi orang-orang yang mahu berfikir dan belajar. Justeru, jika usaha ke arah penambahbaikan sistem pentadbiran, pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan negara yang mahu segera dilaksanakan dan dipercepatkan, masuklah ke "dalam" dan lihat apa yang boleh dilakukan.

Jika segalanya dilakukan bertertib dan beradat, sekalipun apa yang dihajati tidak dapat ditunai, sekurang-kurangnya kita berlalu pergi tanpa rasa dengki, benci dendam dan iri hati.

Sungguhkah Ramadan itu benar-benar telah terkesan hingga ke sanubari?

Musuh Islam datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Surah Al-Baqarah, ayat 120 ada menyatakan tentang tekad Yahudi dan Nasrani yang sekali-kali tidak akan reda dengan Rasulullah. Baginda turut pernah berpesan, seperti yang diberitahu oleh Abu Sa'id Al-Khudri r.a. bahawa satu hari nanti orang Islam akan mengikut golongan Nasrani, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hatta hingga ke lubang biawak (Hadis riwayat Muslim).

Hanya kerana mereka pandai satu dua patah al-Quran, tidak bererti mereka ikhlas. Tidak bermakna mereka mahu berjuang demi Islam. Tidak semesti mereka sanggup mati demi Allah.

Terkadang terfikir, apakah umat Islam ini telah dijangkiti penyakit "wahan"? iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kerana takutkan kuasa hilang, maka dianjurkan idea perpaduan. Kerana terlupa ia dicipta dari Tuhan demi Tuhan, maka ditentang idea perpaduan. Kosong.

Namun, harus kita akur bahawa sesungguhnya hanya Yang Maha Pencipta itu yang benar-benar tahu. Harus kita akur bahawa sedalam-dalam lautan, dalam lagi hati manusia.

Waima apa tentangan, sedarlah wahai umat Islam. Bangkitlah. Cubalah untuk duduk berunding terlebih dahulu. Tak usah terus bercakap kasar. Senyum dan lihat jauh ke sudut hati. Mulakan langkah dan bicara dengan nama Tuhanmu. Bukankah kita ini dicipta oleh-Nya demi Dia jua?

PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Terengganu, Kampus Dungun. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...