SEREMBAN 17 Sept. - Calon Barisan Nasional (BN) yang bakal dipilih bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang hendaklah individu yang mempunyai kriteria yang boleh membawa kemenangan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, ia adalah keutamaan supaya BN terus mempertahankan kerusi DUN tersebut pada pilihan raya kecil itu, 11 Oktober depan.
''Calon yang memenuhi kriteria boleh menang dan boleh diterima pengundi merupakan calon yang paling sesuai.
''Jika ahli bahagian rasa Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad merupakan calon terbaik. Itulah calon yang perlu dipertandingkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama wartawan Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Dalam pada itu, katanya, urusan pemilihan calon perlu dipercepatkan bagi mengelak sebarang spekulasi yang tidak sihat berlaku.
''Jadi, saya harap soal calon BN daripada UMNO ini dapat kita putuskan dalam masa terdekat," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, keputusan tentang calon itu terletak pada keputusan pucuk pimpinan parti.
''Pendirian Pemuda adalah jelas bahawa soal calon ini adalah hak mutlak pucuk pimpinan, tapi kita harap pucuk pimpinan pilih calon yang mana mengikut kajian kita buat adalah terbaik untuk menang di Bagan Pinang.
''Tapisan itu perlu kerana kita tidak hendak keadaan berlaku seperti di Permatang Pasir," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pemuda UMNO akan mengambil pendekatan lebih berkesan untuk mendekati dan meraih sokongan pengundi muda di Bagan Pinang. - Utusan
Comments
Post a Comment