MOHD RAFIQ mencuba pakaian kepada Siti Atikah ketika mereka diraikan Carrefour untuk membeli pakaian raya, semalam. |
PUTRAJAYA: Sambutan Aidilfitri kali ini tidak lagi semeriah biasa bagi pasangan dua beradik Mohd Rafiq Mohamad, 11, dan adiknya Siti Atikah, 10, kerana mereka mungkin terpaksa berhari raya tanpa kehadiran ibu dan 12 beradik lain yang berada di Terengganu.
Mohd Rafiq dan Siti Atikah terpaksa tinggal di rumah kebajikan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Sepang, dekat sini, sejak empat bulan lalu kerana ibunya tidak mampu menanggung kehidupan mereka sekeluarga selepas kematian bapa mereka, dua tahun lalu.
"Saya dan Atikah sememangnya gembira kerana mendapat ramai kawan di tempat baru ini tetapi kami sentiasa merindui masakan ibu dan berhari raya bersama keluarga di kampung di Kemaman, Terengganu.
Mohd Rafiq dan 13 adik beradiknya yang lain kehilangan tempat bergantung selepas bapanya meninggal dunia pada 2007. Berikutan itu, ibunya terpaksa menghantar Mohd Rafiq dan Siti Atikah ke rumah kebajikan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Sepang, kerana tidak mampu menyara mereka sekeluarga.
Kesedihannya bagaimanapun terubat sedikit apabila persiapan Aidilfitri kali ini menyaksikannya dan rakan lain menerima banyak baju raya baru yang disumbangkan pelbagai pihak.
Ini disebabkan Mohd Rafiq dan adiknya jarang dapat memakai baju raya baru berikutan keadaan keluarganya yang daif, khususnya selepas kematian bapanya.
"Sebelum ini saya jarang dapat baju baru untuk menyambut Aidilfitri. Tapi tahun ini, saya amat gembira kerana sudah mempunyai dua pasang baju raya.
"Namun, sambutan raya pasti lebih meriah jika saya dapat memakai baju ini untuk pergi beraya di rumah kawan-kawan dan saudara mara di kampung halaman," katanya. - Berita Harian
Comments
Post a Comment