BIADAP dan perlu pohon maaf secara terbuka itulah yang perlu dilakukan oleh MIC kerana menggunakan perhimpunan Agung MIC untuk mengecam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Saya sebagai anak Malaysia yang mengecapi kemerdekaan dan merasai nikmat di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri itu amat dukacita dan berharap semua pihak bangun untuk menyedarkan kalangan ahli MIC bahawa tindakan perwakilan dalam MIC kali ini keterlaluan.
Mereka seharusnya sedar dan insaf tanpa sokongan BN terutama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pastinya golongan India di negara ini tertinggal ke belakang.
Dari estet mereka kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menjadi usahawan dan dari gerai makan hingga ke hotel-hotel besar atau syarikat.
Kalangan ahli MIC yang taksub dengan presiden mereka yang telah memegang jawatan itu selama 29 tahun harus mengikut jejak kalangan ahli komponen BN lain yang sanggup melepaskan jawatan mereka.
Ingatlah wahai perwakilan MIC terbabit, anda tidak boleh bergerak berseorangan sekiranya tanpa restu daripada rakyat Malaysia berbilang kaum apatah lagi kalangan ahli Barisan Nasional.
Bagi saya, walaupun ada yang tidak menyukai Tun namun kepemimpinan beliau memang tidak dapat ditandingi, sebab itulah ketika saya sedang memandu mendengar ucapan penggulungan Tun semasa perhimpunan agung terakhir ketika menjadi presiden, saya terpaksa memberhentikan kereta dan menangis di tepi jalan apabila mendengar beliau berundur daripada semua jawatan yang dipegangnya.
Negarawan, seperti seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee: Di mana akan ku cari ganti, memang tidak dapat dicari seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Lihatlah kini semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kadar tol boleh dikaji, bayaran khas semasa perayaan bagi pengguna lebuh raya Utara-Selatan dan kini kerajaan pula bercadang untuk mengambil alih pengendalian tol.
Persoalannya kenapa semasa Datuk Seri S. Samy Vellu, perkara itu semua tidak boleh dilakukan.
Pohon maaf secara terbuka kepada negarawan ulung perlu dilakukan segera oleh perwakilan MIC yang bersidang baru-baru ini.
Jitra, Kedah - Utusan
Comments
Post a Comment