PUTRAJAYA 18 Sept. - Malaysia tidak wajar dilabelkan sebagai negara yang mengeksport pengganas hanya kerana seorang rakyatnya dikaitkan dengan kegiatan itu, yang juga masalah serantau dan turut berlaku di negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ancaman pengganas perlu dihadapi secara global dan bukannya oleh sesebuah negara sahaja.
Justeru tegasnya, mana-mana pihak tidak boleh menuding jari mengaitkan kegiatan pengganas yang paling dikehendaki di Asia, Noordin Mat Top, 41, dengan Malaysia walaupun lelaki itu dilahirkan di negara ini.
''Keganasan adalah masalah wilayah dan global yang tidak mengira batas sempadan negara. Sebenarnya Noordin telah dipengaruhi oleh Abu Bakar al-Bashir, seorang warganegara Indonesia yang membuka sebuah sekolah agama di Ulu Tiram, Johor.
''Jadi, hendak mengatakan kita mengeksport pengganas tidak boleh sebab dia dipengaruhi oleh Abu Bakar, apa-apa pun kita mesti bekerjasama melibatkan kedua-dua negara malah di peringkat antarabangsa kalau hendak membanteras ancaman ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Permata Negara di sini hari ini.
Najib ditanya tentang kemungkinan berakhirnya tohmahan segelintir pihak terhadap Malaysia sebagai kononnya 'melahirkan' pengganas nombor satu Asia, Noordin yang dilaporkan terbunuh dalam satu serbuan polis Indonesia di Solo, Jawa Tengah pagi semalam.
Laporan akhbar hari ini menyebut Noordin dipercayai terbunuh setelah meletupkan diri sehingga menyebabkan mayatnya hancur dan kepalanya terputus dalam serbuan polis ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).
Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di Asia itu terbunuh dalam serbuan tersebut.
Menurut Perdana Menteri, sikap menuding jari terhadap negara tertentu tidak akan membawa sebarang keuntungan kerana seperti insiden 11 September 2001 yang berlaku di Amerika Syarikat (AS), ia melibatkan pengganas dari negara luar.
Dalam pada itu Najib berkata, Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada pihak berkuasa Indonesia kerana berjaya membanteras ancaman pengganas dengan terbunuhnya Noordin.
''Nampaknya setelah sekian lama (akhirnya) mereka berjaya dalam tindakan menghapuskan ancaman yang amat serius ini.
''Saya difahamkan mengikut laporan awal forensik memang sah yang terlibat itu adalah Noordin dan untuk menentukan kesahihan 100 peratus dalam bentuk analisis spesimen asid deoksiribonukleik (DNA), keputusannya dalam seminggu," katanya.
Najib turut mengesahkan kerajaan akan membantu keluarga Allahyarham Noordin untuk membawa pulang jenazahnya ke tanah air seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.
''Urusan lain, buat masa ini ia dilakukan seperti biasa," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment