Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, September 16, 2009

Sukumaran perlu mohon maaf secara peribadi

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Wanita UMNO menggesa Timbalan Ketua MIC Paya Besar, Kuantan, M. Sukumaran memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perwakilan MIC itu seharusnya menghormati orang yang lebih tua dan wajarlah beliau berjumpa sendiri dengan Dr. Mahathir untuk memohon maaf.

''Jika di dalam adat kaum India, orang muda perlu menghormati golongan yang lebih tua dan mereka selalunya akan mencium kaki golongan berkenaan.

"Sukumaran seharusnya lebih memahami tentang budaya itu. Tambahan pula, seluruh rakyat negara ini menganggap Dr. Mahathir sebagai bapa dan perlu menghormatinya,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara di sini hari ini.

Shahrizat berkata, Wanita UMNO melihat ada segelintir pemimpin dan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) semakin hilang pedoman terutama sejak berlakunya tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Jelasnya, mereka sudah banyak melupakan tunjuk ajar daripada pelbagai pihak yang merupakan orang lama dalam politik.

"Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mementingkan dan mengekalkan nilai-nilai budaya timur walaupun berhadapan dengan musuh,'' ujarnya.

Tambahnya, Wanita UMNO mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan MIC yang mengambil tindakan menggantung keahlian Sukumaran berikutan insiden berkenaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...