Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, September 18, 2009

Umum calon selepas raya


MUHYIDDIN Yassin menyaksikan Datuk Iskandar Mizal Mahmood (kiri) dan Wan Abdullah Wan Ibrahim (kanan) bertukar dokumen perjanjian kerjasama antara Biotechnology Corporation dengan UEM Land Holdings Berhad di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diumumkan selepas Aidilfitri ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan, persiapan BN dan UMNO bagi pilihan raya kecil berkenaan adalah lancar.

"Calon yang sesuai kita akan putuskan tidak lama lagi, biar beraya dahulu," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara Biotechnology Corporation dan UEM Land Holdings Berhad di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 11 Oktober ini berikutan kematian ADUN kawasan tersebut, Azman Mohd. Nor daripada BN akibat jangkitan dalam darah.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan esok bagi mendapatkan gambaran lebih lanjut berhubung persiapan itu.

Dalam pada itu, mengulas laporan media mengenai Malaysia menjadi pusat penghantaran peralatan ketenteraan ke Iran, beliau berkata, ia adalah satu dakwaan yang serius.

Sehubungan itu, kata beliau, pihak yang mengeluarkan dakwaan berkenaan harus tampil mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong perkara berkenaan.

Jelasnya, kenyataan berkenaan mempunyai implikasi besar ke atas negara ini dan kerjasama daripada pihak yang membuat dakwaan adalah amat penting untuk mendapatkan gambaran sebenar.

"Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pertahanan akan meneliti perkara itu sama ada betul atau tidak," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...