MELAKA 15 Sept. - Lazimnya pada bulan puasa kita sering mendengar pemimpin masyarakat menganjurkan program berbuka puasa bersama anak yatim, fakir miskin, mahupun golongan warga emas.
Tidak terkecuali, pengamal media juga diraikan sebagai penghargaan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat selain mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.
Namun, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mencipta kelainan apabila meraikan media pada program bersahur bukannya berbuka puasa sebagaimana lazim dilakukan pemimpin di negeri lain.
Lebih bermakna, program yang dihadiri 70 ahli Kelab Media Massa Melaka (KEMM) itu diadakan di Rumah Seri Kenangan Cheng, sekali gus meraikan lebih 40 warga emas yang menghuni rumah tersebut.
Menurut Mohd. Ali, idea meraikan media pada program bersahur bersama warga emas itu bertujuan mencari kelainan dan keunikan pada bulan mulia ini.
"Ini adalah kali pertama kita bersahur bersama media dan saya lihat, mereka menyambut baik untuk diraikan di rumah warga emas ini berbanding berbuka puasa di hotel seperti tahun sebelum ini.
"Ia juga sekali gus menunjukkan keprihatinan golongan media terhadap golongan kurang bernasib baik di rumah ini," katanya.
Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri program tersebut di Rumah Seri Kenangan Cheng di sini awal pagi tadi.
Terdahulu, Ketua Menteri meluangkan masa selama kira-kira satu jam mengejutkan beberapa warga emas untuk bangun bersahur selain bertanyakan khabar mereka.
Ini tahun kedua Mohd. Ali membuat lawatan bersahur ke rumah tersebut selepas program sama diadakan tahun lalu.
Sementara itu, Yang Dipetua KEMM, Mohamad Raffi Bachik, berkata, program seumpama itu dapat memberi kesedaran kepada media tentang realiti kehidupan yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain.
"Secara tidak langsung, kami dapat menyelami nasib suka duka penghuni di rumah ini untuk dikongsi bersama masyarakat di luar sana.
"Semoga apa yang didedahkan ini, akan memberi keinsafan kepada orang ramai terutamanya sempena Syawal yang akan menjelma tidak lama lagi," katanya.
Wartawan Kosmo!, Rosli Hassan, 34, berkata, dia tidak menyangka akan menerima jemputan bersahur bersama Ketua Menteri di rumah warga emas tersebut.
"Selama saya menjadi wartawan, inilah kali pertama melihat pemimpin meraikan media pada waktu sahur bersama warga emas.
"Memang ia satu kelainan terutamanya apabila dapat berkumpul bersama semua rakan-rakan dan warga emas sambil menikmati sahur," katanya.
Bagi wartawan eksekutif Harian Metro, Meor Riduwan Meor Ahmad, 33, program seumpama itu sekali gus mengubah tradisi meraikan media berbuka puasa di hotel-hotel yang kadang kala agak 'menjemukan'.
"Biasanya, di bulan puasa, media menerima pelbagai jemputan berbuka puasa di hotel-hotel dengan makanan yang sedap-sedap belaka.
"Tapi apabila bersahur dengan lauk ala kadar seperti ini, timbul rasa syukur apatah lagi bila mengenangkan nasib warga emas di sini," katanya sebak.
Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Ziela Nasbah, 21, berkata, program seumpama itu dapat memberi kesedaran kepada media tentang realiti kehidupan yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain. - Utusan
Comments
Post a Comment