SEMALAM, 16 September menandakan 46 tahun usia penubuhan Malaysia. Tarikh ini pada 1963, perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat.
Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia, lantas melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan 'Ganyang Malaysia' berlanjutan hingga 1966.
Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia? Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian menunjukkan persepsi ini.
Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini adalah satu fenomena tidak sihat di dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.
Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah generasi sekarang perlu sedar pentingnya tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia. Jangan biarkan generasi muda terus lupakan sejarah Malaysia yang penuh dengan perjuangan generasi terdahulu.
Yang Di-Pertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam
Sarawak (Perkepis)
Kuching, Sarawak. - Berita Harian
Comments
Post a Comment