PULAU PINANG 15 Sept. — Sebanyak 49 badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menggesa Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu membawa perwakilan parti yang membuat cadangan meletakkan “kalungan selipar” bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meminta maaf sebelum isu itu menjadi serius.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Yussof Latiff berkata, perwakilan tersebut bagaikan “kacang lupakan kulit” kerana mereka telah lupakan pengorbanan pemimpin negara.
“Wakil yang bercakap itu cukup biadab dan kurang ajar kerana dia langsung tidak ingat pengorbanan pemimpin negara ini dan kerana tindakannya itu kita anggap dia manusia yang cukup rendah budi pekerti dan tidak kenang budi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beberapa akhbar pada Isnin melaporkan bahawa Dr. Mahathir dikritik para perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah Samy Vellu.
Katanya, kesemua NGO turut menyifatkan Samy Vellu perlu bertanggungjawab di atas cadangan perwakilan terbabit kerana menganggap tindakannya itu juga mendapat restu pemimpin-pemimpin MIC. - Utusan
Comments
Post a Comment