KUALA LUMPUR 2 Sept. - Polis telah mengenal pasti dalang dan individu yang terlibat dalam demonstrasi mengarak kepala lembu untuk membantah pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan untuk mengambil tindakan terhadap mereka terlibat.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada pihak-pihak terlibat untuk melengkapkan kertas siasatan.
"Saya telah arahkan pegawai penyiasat kes itu untuk berbincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
"Hasil perbincangan itu, (Tan Sri) Gani arahkan siasatan dijalankan dan kita telah mengenal pasti mereka terlibat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatan Kuasa Sempadan Malaysia dan Thailand kali ke-49 di sini hari ini.
Musa diminta mengulas siasatan kes penduduk Seksyen 23, Shah Alam, dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jumaat lalu, sambil mengarak kepala lembu.
Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon itu membincangkan isu-isu berkaitan sempadan kedua-dua negara.
Sementara itu, Musa enggan mendedahkan identiti individu yang telah dikenalpasti sebagai dalang dalam kes terbabit sebaliknya meminta media menunggunya di mahkamah.
"Nanti bila dalang itu didakwa di mahkamah, anda sendiri akan tahu siapa dia," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment