Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, September 7, 2009

Pembangkang gagal laksana tugas


HISHAMMUDDIN Tun Hussein menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada warga emas, Fatimah Dollah di Kampung Melayu Niyor, Kluang, semalam.

KLUANG 6 Sept. – Kekecohan yang berlaku pada majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam membuktikan pakatan pembangkang gagal melaksanakan tugasnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, insiden itu juga membuktikan bahawa pemimpin pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendekati rakyat selama ini.

“Jika mereka betul-betul telah mendekati rakyat, mungkin tidak berlaku kekecohan dan ini bermakna mereka tidak melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas penangguhan keputusan kerajaan negeri Selangor memindahkan kuil ke Seksyen 23, Shah Alam ekoran berlaku kekecohan pada majlis dialog dengan penduduk seksyen tersebut semalam.

Penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan negeri mencari lokasi baru untuk menempatkan pembinaan kuil tersebut.

Terdahulu Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada beberapa warga emas termasuk dua penerima di Kampung Melayu Niyor, dekat sini.

Menurutnya, PKR tidak boleh menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung perkara itu kerana protes pembinaan kuil tersebut bukan sahaja membabitkan orang UMNO, tetapi juga ahli PKR dan Pas.

“Kita mempunyai bukti dan maklumat lengkap mengenai siapa yang terbabit dalam protes ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mendedahkan segala maklumat itu termasuk mereka yang terbabit apabila tiba masanya kelak.

Hishammuddin mengingatkan mereka yang cuba mempolitikkan perkara tersebut agar berfikir sebelum melakukannya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, polis telah pun melengkapkan siasatan berhubung insiden protes sekumpulan masyarakat terhadap pembinaan kuil itu termasuk membawa kepala lembu baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu juga telah dibawa kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Dalam hal ini kita tidak memilih bulu dan akan menghadapkan mereka yang terbabit membawa kepala lembu itu ke mahkamah tanpa mengira fahaman politik,” katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...