Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, beliau mengelak untuk memberi komen atau ulasan terhadap setiap cadangan yang dikemukakan kerana ia boleh melambangkan keputusan muktamad Majlis Tertinggi (MT) serta keputusan peribadinya.
Ujarnya, melalui cara kolektif sahaja pucuk pimpinan serta semua ahli parti dapat bersama-sama memutuskan cadangan terbaik bagi tujuan pindaan tersebut.
''Proses pindaan (perlembagaan) sekarang di peringkat cadangan. Oleh itu adalah terlalu awal bagi saya untuk beri komen sebab kalau saya komen ia akan melambangkan keputusan muktamad MT.
''Saya tidak mahu mengulas perkara itu dan saya tidak mahu membuat keputusan peribadi. Ia mesti cara kolektif,'' katanya selepas mengadakan tinjauan ke Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya proses pemilihan jawatan di semua peringkat parti ditentukan oleh 60,000 hingga 650,000 perwakilan.
Cadangan tersebut adalah hasil mesyuarat cawangan UMNO dan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang tamat pada 16 Ogos lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan parti berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada lima perkara pokok yang telah dicadangkan semasa mesyuarat cawangan dan persidangan bahagian berkenaan.
Najib berkata, pada masa ini UMNO sedang mendapatkan ulasan, maklum balas dan tinjauan secara lebih terperinci terhadap setiap cadangan yang dikemukakan.
''Dalam usaha kita melakukan penambahbaikan kepada UMNO, biarlah proses ini berjalan. Saya bersikap terbuka dalam hal ini malah saya orang yang pertama mengesyorkan supaya perlembagaan UMNO dipinda dan dirombak.
''Ia bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan dapat memberi keyakinan yang lebih bukan sahaja di kalangan ahlinya tetapi lebih penting rakyat mesti melihat UMNO sebagai parti yang menepati cita rasa mereka,'' katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment