IPOH 5 Sept. - Rakyat negeri ini diminta tidak diperbodohkan dengan propaganda dicetuskan oleh pakatan pembangkang semata-mata untuk kepentingan politik mereka.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pembangkang hanya cuba mengelirukan rakyat dengan mengenepikan institusi raja-raja, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
''Tindakan yang dibuat oleh pembangkang termasuk mengadakan persidangan dewan haram membuktikan mereka tidak menghormati undang-undang negara.
''Kalau sudah langgar undang-undang, apa akan jadi pada negara ini? Rakyat perlu sedar mereka hanya diperbodohkan oleh pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 2 September lalu, pakatan pembangkang terus menimbulkan kekecohan dengan mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan termasuk mengadakan 'perhimpunan DUN' haram.
Terdahulu, Ahmad Husni hadir pada majlis penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan surat tawaran rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Tengku Hussein di sini.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan menyediakan pelbagai faedah untuk rakyat walaupun dalam kegawatan ekonomi sekarang.
''Kerajaan mahu menjadikan negara ini sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi bagi membolehkan rakyat menikmati faedah," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan pada majlis tersebut, Ahmad Husni berkata, program RMR diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang berhadapan dengan kesukaran membuat pinjaman memiliki rumah. - Utusan
Comments
Post a Comment