KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ketika sesetengah pihak menuduh umat Islam di negara ini jumud dan tidak bertoleransi, kajian yang dijalankan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pula menunjukkan perkara yang sebaliknya.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 91 peratus daripada responden beragama Islam didapati menunjukkan tahap toleransi yang tinggi terhadap rumah ibadat bukan Islam.
"Mereka boleh menerima upacara keagamaan yang dilakukan oleh penganut bukan Islam.
"Kurang daripada tujuh peratus responden beragama Islam yang mengadu menghadapi masalah terhadap rumah ibadat bukan Islam di tempat mereka," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.
Kajian yang telah bermula pada Julai 2007 itu, katanya, mempunyai matlamat untuk melihat sejauh mana sensitiviti umat Islam terhadap rumah ibadat bukan Islam.
Bagaimanapun, Mohd. Nakhaie berkata, tahap toleransi umat Islam dalam perkara itu ada batasannya.
"Mereka didapati sangat sensitif terhadap jumlah dan saiz rumah ibadat bukan Islam terutama yang terletak di kawasan majoriti Islam," jelasnya.
Katanya, pihak berkuasa sepatutnya mengambil kira sensitiviti umat Islam jika mahu membina rumah ibadat bukan Islam.
Mengenai reaksi penduduk Seksyen 23 Shah Alam terhadap pembinaan kuil di kawasan mereka, Mohd. Nakhaie berkata, perkara itu memang telah dijangkakan.
"Ini kerana tindakan memindahkan kuil ke kawasan majoriti Melayu adalah sesuatu yang memang tidak boleh diterima oleh orang Melayu," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment