Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, February 7, 2010

'Saya sedia terima'

IPOH 6 Feb. - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau akan menerima dengan reda apa saja keputusan mahkamah Selasa ini berhubung Menteri Besar Perak yang sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana apa yang lebih penting sekarang menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

 "Saya tidak mahu menjadi seperti pakatan pembangkang yang akan mencanang ke seluruh negeri tentang sesuatu isu.

"Saya akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan nanti sebagai takdir Allah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Setahun Melayari Arus Bersama Menteri Besar Rakyat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Kes pertikaian membabitkan siapa Menteri Besar Perak yang sah akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini.

Keputusan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negeri ini atau kembali kepada pemerintahan pakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Panel lima hakim yang bersidang bagi membuat keputusan itu akan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff.

Empat lagi terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd. Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Panel lima hakim yang bersidang sebelum ini menangguhkan keputusan kes itu pada 5 November lalu setelah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry mengambil alih jawatan Menteri Besar Perak daripada Mohammad Nizar selepas kerajaan pakatan pembangkang tumbang akibat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan BN. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...