Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, February 7, 2010

Melayu Harus Kukuhkan Perpaduan Untuk Pertahan Hak Mereka

PENDANG, 7 Feb (Bernama) -- Bangsa Melayu seharusnya mengukuhkan perpaduan untuk mempertahankan hak mereka atau ditindas jika bertelagah sesama sendiri, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata perpaduan bangsa Melayu boleh dicapai melalui pengukuhan nilai-nilai kenegaraan, budaya dan pendirian mereka.

"Sebagai satu bangsa seagama, tiada sebab mereka tidak boleh bersatupadu," katanya berucap merasmikan program 'Sepakat Bestari 1Malaysia' peringkat daerah Pendang anjuran Jabatan Penerangan Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Charok Kudong, di sini, Ahad.

Menurutnya program tersebut diperkenalkan kerana ia menyentuh jiwa rakyat selain nilai-nilai murninya dapat membantu memupuk perpaduan dan hala tuju bangsa Malaysia.

Pada majlis itu, Rais mengumumkan sumbangan sebanyak RM15,000 bagi membina bilik guru SK Charok Kudong dan hadiah kepada pelajar sekolah itu yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Beliau turut menyumbang komputer kepada Komuniti Bestari Mukim Guar Kepayang dan SK Charok Kudong manakala isterinya Datin Seri Masnah Rais menyampaikan beg sekolah kepada 30 murid sekolah tersebut serta bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 seorang kepada 30 penerima. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...