PORT DICKSON 4 Okt. - Pentas ceramah Pas sekali lagi dipergunakan oleh pemimpin bukan Islam pakatan pembangkang untuk menggunakan ayat suci al-Quran demi kepentingan politik sempit mereka.
Dalam ceramah di markas Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, di sini malam tadi, Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah membaca ayat dari surah Al-Imran ayat 54 bagi menarik perhatian kira-kira 300 penyokong parti itu.
Gobalakrishnan membacakan ayat dari surah itu ketika berhujah mengenai usaha untuk mengumpulkan penyokong pakatan rakyat pada satu perhimpunan yang akan diadakan Disember ini.
Dipercayai Ahli Parlimen Bagan Serai itu berbuat demikian dengan tujuan menarik perhatian para penyokong Pas pada majlis ceramah itu.
Selain Gobalakrishnan turut berceramah di markas Pas itu malam tadi ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin dan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.
Sejurus selepas beliau menghabiskan ayat al-Quran itu, ia disambut gelak ketawa oleh penyokong Pas.
Sebelum ini pada ceramah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming turut menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramahnya ketika berkempen.
Dalam pada itu, pada ceramah malam tadi, Gobalakrishnan berkata, BN seolah-olah tidak mempunyai calon yang bersih dan mempunyai kredibiliti untuk dijadikan sebagai pemimpin untuk membela rakyat.
"Keadaan BN seolah-olah telah bankrap untuk mengemukakan calon yang terbaik dalam untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.
"Sepatutnya mereka (BN) menjaga dasar yang sedia ada, tetapi sekarang ini mereka tidak ada lagi golongan intelek dan strategi. Segala apa yang mereka lakukan hancur belaka," katanya.
Dalam pada itu, Gobalakrishnan juga secara terbuka menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah satu agensi paling rasuah yang diperalatkan oleh UMNO dan BN dalam isu kematian Teoh Beng Hock. - Utusan
Comments
Post a Comment