KUALA LUMPUR 10 Sept. - Isu bantahan umat Islam berhubung pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam perlu diselesaikan secara berhemah dan baik bagi mengelakkan imej Islam terus tercalar.
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan baik kerana jika tidak dikawal ia akan menimbulkan pergaduhan besar antara kaum.
''Kepada yang terlibat, sepatutnya sedar jika berlaku sesuatu ia akan memberi kesan dan akibat yang buruk kepada negara.
''Imej dan nama Malaysia turut akan tercalar. Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk memulihkan semula imej yang telah dibina bertahun-tahun,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis lawatan dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Seramai 112 orang pesakit di empat buah wad hospital berkenaan menerima sumbangan berupa hamper dan wang tunai tajaan Masjid Negara. Turut hadir Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim.
Jelas Syaikh Ismail, sikap suka melaga-laga dan membakar semangat golongan tertentu tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat negara ini. - Utusan
Comments
Post a Comment