Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, September 12, 2009

Berundur demi kepentingan BN

KOTA KINABALU 11 Sept. - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu perlu meletakkan kepentingan Barisan Nasional (BN) mengatasi segala-galanya dengan melakukan perubahan termasuk berundur secara terhormat.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, jika Presiden MIC itu tidak berubah, pihak yang akan mendapat kesan daripada tindakan itu adalah BN.

''Samy Vellu harus melihat kepada BN kerana MIC adalah komponen BN. Jika MIC tidak berubah dan dipandang rendah oleh kaumnya, maka yang akan terkena tempias adalah BN.

''Malah, ini terbukti pada lapan pilihan raya kecil apabila masyarakat India terus menolak BN dan memberi sokongan kepada pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak supaya Samy Vellu berundur secara terhormat daripada terus kekal menerajui parti itu dan dengan penuh bertanggungjawab membiarkan ahli peringkat akar umbi memilih pemimpin terbaik secara demokrasi.

Bung Moktar berkata, Samy Vellu perlu mendengar pandangan akar umbi dan membantu parti itu pulih dari kemelut dalaman yang amat mementingkan individu daripada parti itu sendiri.

Beliau menambah, sebagai pemimpin berpengalaman, Samy Vellu perlu bertoleransi dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan MIC parti disegani.

Selain itu, katanya, pengunduran Samy Vellu sebagai Presiden MIC mampu menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu dan menarik ahli serta muka-muka baru dari kaum India menganggotai parti itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...